Wednesday, August 24, 2011

Nyawa dan Maruah


Untuk pembacaan orang awam dan bukan untuk pelajar undang-undang mahupun pengamal undang-undang

Minggu terakhir Ramadhan dan hendak masuknya Syawal ini, sedang orang lainnya sibuk dengan sambutan raya pada minggu depan, Hamba pula menghadap kes terakhir sebelum tamat tempoh ‘bertugas’ di firma guaman disini. Kes yang sejak dari awal minggu pertama masuk ke sini hinggalah menjadi kes terakhir bekerja disini.

Beberapa kali berjumpa dengan Orang Kena Tuduh (OKT) sebelum perbicaraan menyebabkan penghikayat agak rapat dengan OKT dan setiap kali berjumpa dengannya, dia tidak pernah sekalipun lekang dari Alhamdulillah, Allahuakbar, dan mulut yang sentiasa kumat kamit yang pada hemat penghikayat mungkin zikir-zikir memuji Tuhan.

OKT dihadapkan ke mahkamah dan dituduh atas tuduhan membunuh ibunya sendiri. OKT telah membunuh dengan menggunakan kapak besi dan menetak maknya sendiri di kepala sehingga menyebabkan satu tetakan yang begitu dalam dan menyebabkan hampir kepala mangsa terputus dan otak mangsa terbelah. OKT ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan mengenai pembunuhan maknya sendiri.

Kalau dilihat secara kasar, mudah saja hisabnya bukan? Pembunuh harus dijatuhkan hukuman atas kesalahannya. Lebih-lebih lagi bila OKT sanggup membunuh ibunya sendiri. Manusia jenis apa yang sanggup membunuh dengan cara yang sebegitu kejam pada ibunya sendiri?! Memang layak dan patut dihukum mati!

Dan peguam yang mewakili OKT tidak lebih dari seorang peguam yang gilakan duit! Yang sanggup mewakili seorang penjenayah yang begitu sadis dan tidak berperi kemanusiaan membunuh ibunya sendiri. Peguam ini juga seharusnya dihukum!

Keadilan bukan seperti ilmu hisab. Satu ditambah satu secara wajibnya menjadi dua. Jika sesiapa yang mengatakan sebaliknya, maka gila lah dia. Tetapi undang-undang jauh dari itu. Kerana saksama itu tidaklah selalu membawa makna adil, tapi adil itu yang akan sentiasa saksama.

Antara saksi untuk pendakwaan ialah ayah dan adik OKT. Apabila si ayah disoal oleh pendakwaraya, jelas suara sedikit gementar. Ditanya lagi berkenaan apa yang telah dilakukan semasa kejadian, bagaimana dia menjumpai mayat isterinya yang ditetak oleh anaknya sendiri dan bagaimana keadaan OKT apabila saksi ini menjumpai OKT ini selepas kejadian. Suara yang mulanya gementar bertukar menjadi sedih dan saksi beberapa kali menangis dan terhenti-henti semasa disoal oleh pendakwaraya. Dan tangisan itu menjadi kuat dan mahkamah terpaksa berhenti selama 5 minit apabila saksi diminta untuk mengecam mayat arwah isterinya yang dibedah siasat. Siapa pun akan menangis sebenarnya apabila melihat orang yang tersayang dibedah dan segala organ dibawa keluar untuk pemeriksaan.

Tapi satu yang pasti. Si ayah tidak pernah menyangka OKT akan berkelakuan sedemikian. Menurut saksi, OKT sepanjang hayatnya tidak pernah berkelakuan aneh dan sentiasa mengikut kehendak ayah dan ibunya. Malah, tidak pernah dia meninggi suara sepanjang hayatnya bukan saja dengan ayahnya, tetapi dengan adik-adik OKT. Namun setelah OKT pergi belajar dan berguru dengan seorang ‘sheikh’ untuk menuntut ilmu dalam, OKT berubah. Dari seorang periang menjadi pendiam, dan pemenung. Bercakap seorang dengan meyakini sheikh dari alam satu lagi datang untuk mengajarnya ilmu hikam.

Dan semasa kejadian, saksi berada didalam rumah sedang menonton tv dan isterinya (mangsa) pula diluar untuk menyidai pakaian. Kemudian saksi mengatakan yang dia mendengar seperti ada satu benda jatuh diluar. Kemudian mendengar suara mangsa, ‘Cik, jangan buat mak macam ini!’. Kemudian saksi mendengar satu hentakan kuat diluar rumah dan mendengar suara OKT bertakbir,

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Saksi nombor 5, adik kepada OKT pula memberi keterangan yang konsisten dengan keterangan dari saksi nombor 3, iaitu ayahnya. Si adik berada di dapur ketika kejadian dan hanya mendengar suara ibunya dan abangnya yang melaungkan takbir. Apabila keluar dari rumah, dilihat ibunya sudah terbaring di lantai dengan darah penuh di simen. Kepala ibunya hampir-hampir terputus kerana hentakan dari alat tajam yang berat.

Si adik juga memberikan keterangan dalam keadaan menangis. Sayu apabila diberitahunya kepada mahkamah apabila pendakwaraya meminta dia untuk melakukan pengecaman terhadap OKT. Sekali lagi, mahkamah terpaksa berhenti buat sementara. Saksi juga memberitahu kepada mahkamah walaupun saksi jarang pulang ke rumah kerana belajar, dia dapat merasakan perubahan pada OKT. Tidak ada lagi teguran dan sapaan baik dari OKT, tetapi OKT berubah menjadi pendiam dan bermenung dan berkurung di dalam biliknya sahaja.

Dipendekkan cerita (kerana terdapat 15 orang saksi untuk pendakwaaan), Doktor dari Hospital Permai Johor memberi keterangan. Sepanjang OKT berada didalam pemerhatian pakar disana, terbukti OKT mempunyai halusinasi dan menghidap schizophrenia (rangkaian ke Wikipedia). Dia meyakini suara-suara halus yang telah memandu dia untuk mendapat ilmu tertinggi didalam ajarannya. Dan dia pada masa kejadian, telah mendapat ‘wahyu’ untuk membunuh ibunya yang dikatakan dirasuki dan dia perlu membunuh jin itu. Tetakan kapak itu tidak akan mencederakan ibunya, tapi hanya membunuh jin tersebut!

Esok merupakan penghakiman untuk OKT. Jika pada pendapat hakim adanya prima facie (ke Wikipedia), maka OKT akan membuat pembelaan. Dan saat itu tugas seorang peguambela memainkan peranan.

Peguam (terutama peguambela jenayah) yang selalunya dikaitkan dengan penipu, dan membela orang jahat akhirnya juga akan membela OKT yang pada hemat Hamba tidak bersalah. Iya, peguam yang selalu dipandang serong didalam masyarakat.

Kalau masyarakat memandang mulia profesion perubatan (tidak bermaksud merendah martabat doktor) kerana menyelamatkan nyawa manusia, percayalah tugas seorang peguam jauh lebih berat dari itu. Menyelamatkan nyawa orang dan yang paling penting, menyelamatkan maruah seseorang. Kerana jikalau seseorang itu tidak bersalah tetapi kerana kelemahan peguam itu, maka dihukumnya seseorang itu, dan ditakdirkan Allah matinya dihukum gantung, maka bukan dia sahaja yang terkesan dan terkena hukuman, malahan seluruh keluarganya. Masyarakat sampai bila-bila akan memandangnya sebagai pembunuh, dan keluarganya mungkin disisihkan dari masyarakat. Dan itulah seberat-berat hukuman.

Pandangan masyarat pada profesion kepeguaman ini tak mungkin dapat dihapuskan dengan penulisan picisan dari Hamba ini. Tapi mungkin mampu mendetikkan didalam diri kalian untuk memandang sekali lagi pandangan kalian pada kepeguaman.

Dan yang paling penting, tidak terus menghukum orang sewenang-wenangnya. Seseorang itu tidak bersalah hinggalah terbukti dirinya bersalah. OKT layak untuk menerima pengadilan yang seadilnya dan masyarakat tidak pula harus menghukum tanpa mengetahui sebabnya.

Ikhlasnya, Hamba merasakan OKT perlu diberi peluang. Hukuman terlalu berat untuk OKT. Jikalau bapanya dan adiknya, yang kehilangan isteri dan mak merasakan OKT tidak bersalah, siapa kita untuk mengatakan OKT bersalah?

Pendapat kalian? Patutkah OKT dikenakan hukuman untuk tindakan yang beliau sendiri tidak sedari?

Kita tunggu sahaja keputusan pada esok hari.

Wednesday, August 17, 2011

500 Tahun Nakbah Bangsa Melayu

Di atas robohan Kota Melaka,

Kita dirikan jiwa merdeka,

Bersatu padulah segenap baka,

Membela hak keadilan pusaka. – Dr Burhanuddin al-Helmy-

Sejujurnya, inilah tulisan yang paling berat untuk penghikayat. Dan tulisan yang paling panjang masanya untuk dihabiskan. 5 hari untuk satu tulisan yang pada hakikatnya tidaklah ada sebarang fakta atau penulisan yang tersirat!

Apa beratnya? Berat kerana merasakan tanggungjawab yang tidak terkira pada pundak penghikayat untuk memberikan yang terbaik. Supaya semua anak Melayu yang sudah lupa akan satu kisah leluhur mereka untuk kembali mengingati sejarah hitam bangsanya. Dan akhirnya, untuk mereka bingkas dari tidur yang lena itu dan teringat akan pesan hikmat Laksamana Tun Tuah,

Takkan Melayu Hilang di Dunia.

Hari ini genaplah satu tarikh yang bersejarah. Tarikh hitam yang menyelubungi sekelian anak Melayu. Nakbah Melayu.

Hari bermulanya bangsaku diinjak-injak. Hari bermulanya bangsaku hilang pedoman dan arah. Hari yang mana bangsaku mula lupa.

Hari ini, 500 tahun yang lepas, tepatnya pada 15 Ogos 1511, Melaka akhirnya tumbang kepada penjajah Feringgi laknatullah. Setelah berhempas pulas untuk bumi Melayu ini, akhirnya Sultan Mahmud dan angkatan baginda sudah tidak lagi mampu untuk mempertahankan kedaulatan dan pusaka turun temurun bangsa. Berundur baginda ke Pahang dan akhirnya berkerajaan di Kampar, Riau manakala kedua anakanda menubuhkan kerajaan baru, menggantikan kerajaan yang tidak mungkin dapat diganti buat selamanya.

Tumbangnya Melaka, bermakna hilanglah payung yang memayungi sekelian umat Melayu. Tempat berteduh dan berlindung anak Melayu. Hilang sudah perisai yang mempertahan dan menjaga kedaulatan bumi Melayu dan sekelian hamba Melayu. Hilang sudah Khalifah di bumi timur jauh.

Ya, kejatuhan Melaka melambangkan kebangkitan kerajaan Melayu yang lain seperti Brunei, Aceh, dan disusuli pula dengan Johor. Ini kerana itu adalah sifat alami seorang Melayu. Melayu tidak rela hidup sebagai hamba kepada bangsa lain melainkan kepada Melayu jua. Dalam diri Melayu itu ada sifat yang berbangga pada dirinya, pada bangsanya, kerana itulah Melayu, Tuan kepada dirinya sendiri dan bukannya kepada bangsa lain.

Melayu tidak rela melihat kepada kejatuhan Melaka. Melayu tidak rela melihat Melaka terjajah kerana Melaka itu adalah Melayu dan setiap didalam hati sanubari anak Melayu itu pasti tersimpan Melaka. Setiap didalam diri anak Melayu itu pasti berkait dengan Melaka, dengan keadilan Sultan Alauddin Riayat Syah, dengan keperwiraan Laksamana Tun Tuah dan kebijaksanaan Tun Perak.

Tetapi kemunculan kerajaan seterusnya tidak mampu menyaingi kehebatan dua empayar Melayu. Srivijaya sebelum ketibaan Islam dan Melaka setelah Melayu kembali kepada fitrah alami. Melayu hanya pernah bersatu dibawah dua nama, Kedatuan Sriwijaya dan Kesultanan Melaka.

Kejatuhan Melaka merupakan celaka buat sekelian anak Melayu. Kejatuhan yang pada hemat penghikayat masih lagi dicari-cari kebangkitannya.

Hai anak Melayu,

Jatuhnya Melaka bukan kerana kelemahan ketenteraan kita. Jatuhnya Melaka bukan kerana kita memakai parang, mereka memakai senapang. Sejarah membuktikan sebaliknya apabila 6000 pucuk meriam dan 8 ribu pucuk senjata api tersadai apabila Feringgi menawan Melaka. [Suma Oriental, Tome Pires] Jatuhnya Melaka bukan kerana kita menggunakan perahu, mereka menggunakan kapal (penyelewengan yang boleh kita lihat pada buku teks sejarah).

Melaka jatuh kerana Kelemahan Pemimpin. Sultan Mahmud yang lebih mementingkan hawa nafsunya semata dan tidak pernah menghirau kepada rakyat. Waadat antara Sang Sapurba leluhurnya dan Demang Lebar Daun sudah mula dilupakan. Rakyat dizalimi, kebajikan tidak pernah dipeduli. Maka waadat yang dipegang itu jugalah yang memakan diri,

“Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.

Jikalau ada seorang raja memberi aib scorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.”

- Sulalatus Salitin-

Pimpinan Penasihat penuh helah bermain siasah, mengaut keuntungan kepada diri sendiri tanpa menghirau kepada kepentingan negeri. Siasah di istana tidak lebih untuk mengaut keuntungan dan merebut kekayaan. Apa cara dihalalkan demi kuasa. Sedangkan pemimpin seperti Tun Perak didalam pentadbiran dan Laksamana Tun Tuah sudah tiada dan hanya tinggal kenangan.

Jatuhnya Melaka kerana Pemimpin Bukan pada Ahlinya. Batang Tubuh yang sepatutnya menjadi Sultan dipinggirkan, dibuang dari takhta. Tinggallah Raja Munawar Shah, anakanda Sultan Alauddin yang warak dan zuhud itu di pinggirkan, sedangkan Mahmud keturunan Mamak pula dibaiahkan untuk berkuasa. Mana mungkin seorang yang bukan ahlinya mampu untuk memegang tampuk yang bukan haknya? Semata-mata kerana mahukan kuasa, Bendahara Seri Maharaja [Mamak], Tun Senaja [Ibunda Raja Mahmud dan Anakanda Bendahara] dan Raja Mahmud sanggup membunuh Sultan Alauddin Riayat Shah! Sultan sebaik-baik Sultan, untuk umat Melayu sepanjang zaman.

Melaka jatuh kerana Hasad Dengki. Penyakit yang masih pada hari ini hinggap pada diri Melayu. Fitnah berleluasa dan hasad kepada yang lain bermaharaja. Tun Mutahir difitnah dek kerana kuasa. Sultan yang berajakan nafsu membunuh sekelian keluarganya kecuali Tun Fatimah yang diperisterikan. Kedengkian para menteri dan orang besar melihat kepada Tun Mutahir lah punca segalanya. Sultan Mahmud sanggup membunuh saudara kandungnya Raja Zainal dek kerana mempunyai paras rupa yang menawan dan memikat sekelian gadis Melaka.

Melaka jatuh kerana Pengkhianatan. Pengkhianatan yang sungguh memeritkan buat Melaka yang selama itu menjadi tempat berlindung sekelian mereka. Melaka rebah dek kerana pengkhianatan Utimutiraja si Jawa yang mengepalai 500 tentera upahan Jawa membelot Tuannya. Melaka roboh kerana pedagang Cina berpaling tadah [mungkin ada di antara mereka akan menuduh Hamba cuba menyemai benci pada Cina. Tapi sejarah tetap sejarah] menukar taat setia daripada Sultan kepada Feringgi. Melayu jahanam seperti Mendeliar, Si Kitul, Khoja Hassan lebih mementingkan diri dari negeri. Taat setia pada mereka yang boleh memberi kuasa. Taat setia untuk mereka yang boleh membawa untung!

Melaka jatuh kerana Perpecahan Umat.

Hai anak Melayu!

Adakah kalian menyangka tujuan leluhur kita menulis sejarah bangsa untuk berbangga? Kalian menyangka leluhur kita menulis untuk berbangga dengan kecelakaan yang telah berlaku pada mereka? Kalian menyangka Tun Tuah tika melafazkan ‘Tuah Sakti Hamba Negeri, Esa Hilang Dua Terbilang, Takkan Melayu Hilang di Dunia’ untuk kita bersenang, kerana Melayu takkan mungkin hilang didunia? Kalian menyangka mereka menitip sejarah bangsa dengan dakwat darah ini sekadar untuk kita merintih dan bersedih atas apa yang berlaku?

Ditulisnya segala kecelakaan ini kerana kita. Untuk kita menitip kembali kesalahan yang berlaku, yang pernah mereka lakukan untuk tidak berulang. Untuk kita tidak mengulangi apa yang telah mereka lakukan. UNTUK KITA BERWASAPADA. UNTUK KITA MAJU SEBAGAI MELAYU YANG TAKKAN HILANG DI DUNIA.

Tapi kita tidak pernah belajar dari sejarah. Kita tidak pernah membuka helaian hikayat bangsa kita untuk melihat ‘tunjuk ajar’ yang telah diturunkan kepada kita. Walhasilnya, perkara sama mungkin akan berulang. Kalau kita terus lena, terus tertidur.

500 tahun telah berlalu, dan Tanah Melayu ini telah merdeka sejak 1957. Tapi adakah kita, anak watan yang lahir disini, yang leluhurnya terkubur disini benar-benar bebas dari penjajahan 1511? Adakah kita mampu untuk membina semula Melaka yang baru, bahkan lebih besar dari itu? Adakah kita bersedia untuk menjulang kembali nama leluhur kita yang telah dipesongkan bangsa asing?

Atau kita perlukan 500 tahun lagi untuk benar-benar MERDEKA?

Doa dan al-Fatihah Hamba buat leluhurku yang bijaksana, yang menitip dan sanggup membuka pekung di dada menceritakan kelemahan mereka untuk memastikan anak bangsanya tidak mengulangi apa yang telah terjadi. Terpulang pada kita akhirnya.

Ayuh anak Melayu!

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya” - Ar-Ra’d :11




Ada Apa Dengan Bangsa?

(Pakaian Melayu pada era Sriwijaya)

Sejak menulis kembali, terdapat beberapa maklumbalas yang diterima oleh si penghikayat. Ada yang menyokong, dan ada juga yang memandang sinis.

Ada apa dengan Bangsa? Ada apa dengan Melayu?

Kenapa kita sibuk nak memperjuangkan Melayu sedangkan Islam itu lebih besar, lebih gah, lebih perlu untuk diperjuangkan. Memperjuangkan Melayu itu memperjuangkan perkauman, asabiah, memperjuangkan sesuatu yang sia-sia.

Ini soalan yang selalu ditanyakan kepada Hamba. Soalan yang pasti dan tidak lari dari mulut mereka yang mempersoalkan Hamba.

Terkenang pada nasihat yang sering diberikan oleh Almarhum Nenda tercinta;

“Hendak Tahu Siapa Dirimu, Carilah Agama-mu, Hendak Kenal Siapa Dirimu, Carilah Bangsa-mu.”

Tahu disitu bermakna mengetahui apakah tujuan kita diturunkan di muka bumi ini. Apakah tugas dan tanggungjawab di muka bumi Allah Taala ini. Dan telah diterangkan didalam Quran:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'" (Al-Baqarah: 30)

"Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Al-Mukminun: 115-116)

Jelas lagi bersuluh akan tujuan dan matlamat hidup seseorang manusia itu. Tidak lain untuk menjadi hamba kepada-Nya dan menyembah Tuhan Rabbul Alamin. Tidak perlu untuk Hamba bercerita lebih untuk itu.

Kenal siapa dirimu dengan mencari bangsamu.

Sedang sifat seseorang manusia itu hidup didalam masyarakat dan kaum. Tidak ada manusia yang mampu hidup sendirian tanpa bantuan dan sokongan dari manusia yang lain. Ibnu Khaldun menegaskan bahawa sedangkan para Nabi Allah a.s sendiri yang mana semulia-mulia manusia yang diutuskan dengan segala macam kelebihan dan mukjizat memerlukan sokongan dan penjagaan keluarga dan kaum, inikan pula seorang manusia biasa yang serba kelemahan dan kedaifan. [al-Muqaddimah, Ibnu Khaldun]. Ibnu Khaldun juga turut memetik hadis sahih untuk menguatkan lagi hipotesis yang diberikan:

Allah tidak mengutuskan seseorang Nabi pun kecuali ia berada didalam penjagaan kaumnya.’

Dan lumrah setiap manusia itu, keadaan sekeliling mampu mempengaruhi kehidupannya. Jelas dibuktikan sepertimana didalam Hadis Nabi berbunyi;

Setiap manusia itu dilahirkan fitrah, ibu bapanya yang menentukan ia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi...

Dilihat dari sudut yang lain, maka jelas seseorang itu terbentuk hasil dari keadaan sekeliling. Hebat seseorang itu, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh bagaimana dia dibesarkan, bagaimana pandangan alam masyarakat disekellilinginya didalam melihat dunia dan bagaimana masyarakat itu berupaya memberi anjakan positif didalam pemikirannya. Begitu juga lemah bangsa itu, maka lahirlah manusia yang lemah dari pemikiran, lemah dari daya tahan didalam menempuh cabaran hidup.

Disinilah terletaknya hendak mengenal diri itu, carilah bangsa atau masyarakat sekeliling itu.

Kenapa kalian perlu mengenal bangsa kalian? Kenapa kalian perlu mengenal leluhur dan sejarah bangsa kalian? Kenapa Hamba bersusah payah untuk mengorek kembali sejarah bangsa kita yang tertimbus, kenapa Hamba bersusah payah untuk menghabiskan masa dan wang semata-mata untuk mengkaji sejarah bangsa walaupun itu bukanlah pengkhususan Hamba?

Jawapannya mudah, kerana untuk mencari kekuatan diri!

Izinkan Hamba untuk memberi analogi dan perumpamaan yang boleh diberikan. Katakan bahawa ANDA adalah berketurunan dari Nabi Muhammad S.A.W dan digelar Ahlil Bayt. Dari keturunan semulia-mulia keturunan diatas muka bumi ini. Apakah yang bermain didalam benak pemikiran ANDA? Adakah ia tidak akan membawa sebarang makna, dan sekadar SEJARAH keluarga yang tidak akan memberi kesan pada kehidupan ANDA?

Atau adakah akan timbul sedikit rasa bangga, rasa teruja, rasa bertanggungjawab diatas kebesaran nama keluarga anda tersebut? Rasa bertanggungjawaban untuk mempertahankan dan menjaga nama baik keluarga dari diburukkan atau dipandang hina oleh masyarakat? Rasa bertanggungjawab untuk menaikkan kembali nama Ahlul Bayt seperti mana yang sepatutnya?

Ya, setiap manusia biasa pasti akan merasa kesan, paling tidak minda separa sedar (subconscious mind) kalian untuk menjaga, mempertahan, dan menjulang nama keluarga Bani Hashim sepertimana yang sepatutnya.

Itulah yang kita inginkan. Melayu yang mengenal akan kehebatan mereka yang terpendam. Melayu yang merdeka.

Malangnya, kalian dimomokkan bahawa Melayu itu Malas, Melayu itu Lemah, Melayu itu Kurang didalam serba-serbi. Kalian dimomokkan bahawa Melayu tidak mampu bersaing dengan bangsa lain, Melayu itu Pendatang, Melayu itu memerlukan Bantuan kerajaan untuk berjaya.

Maka lahirlah Melayu yang hanya mengharapkan bantuan, masih memerlukan tongkat saat bangsa lain sudah mampu berdiri bahkan memecut laju dengan sendiri. Melayu yang punya MASA-nya sendiri (lewat setengah jam), dan sebagainya. Melayu yang dijajah oleh pemikiran yang ditanam oleh para penjajah. Hingga, bukan lagi suatu keganjilan apabila ada Melayu sudah mula malu mengaku Melayu, dan pada satu tahap, sedar atau tidak bukan sahaja menjauhkan diri dengan Melayu bahkan Islam! Dan pada mereka yang kononnya mahu bersifat Islamik dan lebih aalim, meninggalkan ke-Melayuan dan mendekati ke-Araban, sedang mereka didalam keadaan tidak sedar menafikan sepertimana yang telah difirmankan oleh-Nya:

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.” (Al-Hujurat 49 :13)

Anak Melayu sekelian!

Kalian merupakan dari bangsa yang besar, bangsa yang hebat. Tidak mengetahui tidak bermakna Melayu itu lemah, Melayu itu mundur. Kaji dan selami sejarah leluhur kalian, dan pasti akan ditemui kekuatan yang tiada tara bandingan. Melayu bukan lemah, bahkan Melayu itu bangsa penjajah, menjelajah dunia jauh lebih awal dari mana-mana bangsa di dunia ini. Melayu itu bangsa hebat, mencipta ilmu jauh lebih awal dari mana-mana bangsa di dunia ini. Melayu itu tidak malas, melainkan bangsa yang bermaruah dan tidak mahu tunduk kepada penjajah dengan menjadi abdi kepada mereka. [Mitos Pribumi Malas, Syed Hussein al-Attas].Cari, kaji, selami, dalami dan anda pasti akan temuinya.

Tetapi kenapa tidak kita perjuangkan Islam, sedangkan Islam itu lebih hebat, lebih mulia disisi Tuhan?

Ya, Islam menjadi keutamaan. Tidak ada jawapan lain selain bahawa Islam itu jauh lebih penting untuk didahulukan dari apa juga perkara. Tidak pernah ada keraguan disitu.

Namun, dilihat pula pada bangsa besar lain di dunia ini. Cina, India, Jepun, Korea, Eropah dan sebagainya, adakah mereka beragama Islam? Sudah tentu tidak. Tetapi apakah yang menjadi penyebab kepada kebangkitan mereka ini? Tidak lain dan tidak bukan SEJARAH dan BANGSA.

Kenapa bangsa Cina hebat didalam perniagaan walaupun tidak ada sebarang ijazah didalam perniagaan? Kerana faktor sejarah dan bangsa. Kerana mereka dididik akan sejarah ketamadunan bangsa Cina dan dididik untuk berniaga sejak dari kecil lagi. Banyak lagi bukti untuk membuktikan bahawa Sejarah dan Ketamadunan itu menjadi asas kepada kebangkitan sesuatu bangsa.

Kita diberi nikmat oleh Allah dengan kemuliaan Islam dan kekuatan bangsa Melayu itu. Melayu pernah mencapai kemajuan material dan kebendaaan pada zaman Kedatuan Sriwijaya dan mencapai kemajuan pemikiran setelah kedatangan Islam.[Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Prof. Syed Naquib al-Attas]. Sudah tiba masanya untuk kita, anak Melayu ini untuk menggabungkan kehebatan Sriwijaya dengan kekuatan akidah Islamiyyah dan kembali muncul sebagai Melayu yang baru.

Buat mereka yang bertanya, harap penulisan ini mampu menjawab persoalan.

Catatan di sayabudakmelayu.blogspot.com pada 9 Ogos 2011

Siapa Itu Melayu?

(Perempuan Merina di Madagaskar, akhir kurun ke-19)


Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan tegap, rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak tebal, matanya cerdas dan cerdik. Biasanya dia bersifat baik hati, gerak gerinya sopan dan senang berbicara. Orang Melayu tidak pernah menikus, tetapi dengan orang yang tidak dikenalinya dia agak pendiam dan agak curiga, walaupun tidak ditunjukkannya. Dia seorang yang berani dan amanah didalam menjalankan tugas, tapi dia juga bersikap suka berbelanja, suka meminjam wang, dan lambat pula membayarnya. Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka. Dia mengambil tahu hal ehwal jirannya sebab itu juga dia suka bercerita tentang hal orang. Dia pengikut Muhammad dan percaya pada takdir, tetapi dia juga percaya kepada tahyul. Dia tidak pernah meminum sebarang minuman yang memabukkan, jarang-jarang sekali menghisap ganja. Tetapi gemar berjudi, menyabung ayam dan permainan lain seperti itu. Dia semula jadinya suka bersukan, pandai menangkap dan menjinakkan gajah, nelayan yang mahir dan sungguh cekap dengan perahu. Tetapi yang terutama sekali, dia seorang yang konservatif, bangga dan cintakan tanah air dan rakyatnya, memuliakan adat resamnya, takut pada rajanya, dan menghormati pihak berkuasa. tetapi ia mencurigai semua jenis pembaharuan dan akan menentang apa-apa pembaharuan yang dipaksakan ke atas....

-Sir Frank Swettenham,-

Cukup rasanya blog ini membincangkan berkenaan politik dan BERSIH. Kalau tidak kepada rakan yang lain, mungkin pada si penghikayat sendiri sudah merasa muak dan mual bila berbincang isu politik. Perkara yang sama akan didendangkan, isu yang sama akan dimainkan, dan tidak ada sebarang penyelesaian tapi hanya caci makian, tuduhan dan menghina merendahkan martabat satu sama lain.

Sudah tiba si penghikayat kembali ke topik dan tugas hakiki dalam SayaBudakMelayu ini. Menceritakan dan mencelikkan semula anak bangsa kepada mengenal pada diri sendiri mereka.

Siapa itu Melayu?

Bila pengasas blog ini meletakkan tajuk blog ini sebagai Saya Budak Melayu, timbul persoalan pada si penghikayat (selain mempertikaikan kenapa diletakkan Saya dan bukannya Kami kerana blog ini adalah gabungan dan berasaskan penulisan beberapa anak ‘Melayu’ dan bukannya pengasas blog seorang). Mampukah si penghikayat tergolong dalam definisi Melayu (si penghikayat berdarah Melayu Brunei + Hindi Mughal dan Hindi Bihari di sebelah bonda dan Melayu Pahang + Bugis + Turki di sebelah ayahanda).

Sila angkat tangan jika anda mengaku bahawa darah anda adalah Melayu Sejati! (Nota: Bugis, Minang, Rawa, Banjar bukan Melayu yang seperti anda sangka selama ini sebagai Melayu!). Jawapannya, hampir mustahil melainkan anda adalah Melayu Proto (Orang Asli) ! Kerana Melayu pada hari ini adalah campuran dari pelbagai spesis kaum-kaum dan bangsa-bangsa dagang yang datang ke Suvarnabhumi yang mewah ini.

Jadi, atas kapasiti apakah kalian mengaku bahawa kalian adalah Melayu?

Ilmiahnya, terdapat pelbagai istilah dan definisi yang telah diberikan oleh cendikia dan ilmuwan berkaitan Melayu. Ada yang mengaitkan Melayu itu sebagai satu bangsa yang begitu luas dan besar sifat alamnya, sebesar dari negeri Madagaskar di Afrika sehinggalah di kepulauan di Lautan Pasifik. Ada yang menyifatkan Melayu itu sebagai yang terdiri daripada bangsa yang menduduki di Selatan Thailand, Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Brunei, sebahagian dari Kalimantan, Kepulauan Riau sahaja dan berjumlah dalam linkungan 16 juta orang semuanya. Dan ada pula yang melabelkan Melayu itu dari sudut perlembagaan seperti mana di Malaysia dan Brunei, yang mana bangsa Melayu menjadi bangsa dominan dan bangsa yang memerintah. Dari sudut nasionalisme pula, Melayu di Malaysia pula dilabelkan sebagai mana-mana serumpun yang berasal dari Kepulauan Melayu ini. Manakala di Indonesia pula, Melayu tidak lebih dari salah satu ras yang terdapat dari beratus ras yang wujud dan senyap di republik itu. Di Filipina pula, definisi Melayu pula lebih bersifat novelistik dan idealistik, yang mana Melayu itu adalah satu bangsa yang menginap di kepulauan Asia Selatan ini tanpa sebarang pengkhususan. Oleh hal itu, yang mana seharusnya menjadi definisi yang perlu digunakan untuk disifatkan sebagai Melayu?

Di dalam Perlembagaan Malaysia, disebut Melayu itu seperti halnya didalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Tiga unsur keramat yang perlu ada untuk seseorang itu disifatkan Melayu ya’ni:

(a) Berugama Islam

(b) Berbahasa Melayu

(c) Memegang (mengamalkan) adat dan budaya Melayu

Definisi yang sama turut dilaksanakan di Brunei Darussalam walaupun tidak mempunyai peruntukan yang khusus sepertimana di Malaysia. Namun begitu, definisi Melayu ini diperteguhkan lagi dengan doktrin Melayu Islam Beraja yang menjadi asas kepada rukun kenegaraan di negara kesultanan tersebut. Persoalannya, mampukah definisi yang berbentuk dan bersifatkan tinggalan British ini menjadi satu tanda aras untuk definisi Melayu?

Meninjau dan mengkaji Melayu itu sememangnya sukar. Sesukar untuk mencari kata akar untuk perkataan Melayu itu. Jawa mengaku bahawa Melayu itu asalnya dari perkataan pelarian. Si penghikayat teringat kepada kisah seorang sahabat di Indonesia yang berasal dari Pekan Baru, Riau. Ditakdirkan Allah, ketika beliau melawat sebuah perkampungan di pinggir Jakarta, seekor babi melintas dan terlepas dari kandang. Seorang orang kampong telah menjerit ‘Babi Melayu! Babi Melayu!...’ di hadapan sahabat tersebut. Apa lagi, ditumbuknya orang kampung tersebut kerana menyangka dia dihina! Rupanya, setelah menyebabkan satu gigi orang kampong tersebut patah dan hidung berdarah, barulah dia paham bahawa orang kampong tersebut tengah mengajar babi peliharaan yang lari dari kandang!

Bangsa Melayu di bumi nugara Malaysia ini sering terikat pada definisi yang telah direka dan ditafsirkan dan disempitkan oleh penjajah British. Melayu itu diperikan seperti diatas itu punya 3 nilai keramat, Melayu itu hendaklah Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu dan berbahasa Melayu.

Jikalau Islam adalah pra-syarat untuk menjadi Melayu, ini bermakna hampir separuh yang didefinasikan Melayu oleh mereka yang beranggapan Melayu itu dari Madagaskar di Lautan Hindi sehinggalah kepulauan di lautan Pasifik itu tidak layak untuk diiktiraf sebagai Melayu, walaupun mempunyai unsur-unsur dan kaitan Melayu yang sungguh kuat. Ini kerana hampir 90% orang Merina dan orang Filipina itu berugama Kristian, ugama yang dibawa dan dipaksakan oleh penjajah keatas mereka. Bahkan, di sesetengah di Indonesia, ‘masuk Melayu’ itu sendiri ditafsirkan sebagai masuk Kristian! [Understanding Melayu as a Source of Diverse Modern Identitities, Reid, Anthony 2001,The Malay, Anthony Milner 2008]. Bahkan, di selatan negara, Singapura, Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu itu sudah menjadi satu dogma yang tidak lagi releven. Ini kerana sudah terdapat Melayu yang pada masa yang sama berugama Kristian. Jadinya, agama seseorang itu bukanlah penentu ke-Melayu seseorang jikalau mereka-mereka ini mahu digelarkan Melayu sepertimana yang diidamkan oleh beberapa sejarawan dan antropologis Melayu.

Mengamalkan budaya Melayu merupakan identiti dan pra-syarat kedua seperti mana terkandung didalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Penulis dan pengkaji Melayu, Anthony Milner pula mempertikaikan apa yang dimaksudkan sebagai mengamalkan adat dan budaya Melayu itu. Budaya dan adat itu bersifat lokal atau setempat. Untuk mendapatkan persamaan didalam budaya itu adalah sesuatu yang sukar didalam masyarakat yang berasaskan kesukuan dan setempat seperti Melayu. Masyarakat Melayu Cape contohnya, telah diresapi budaya ke-Araban dan Afrika. Melayu Ceylon/Sri Lanka pula terpengaruh dengan budaya budaya setempat dan unsure-unsur budaya mula menghilang. Pakaian yang merupakan antara simbol dan lambang kebudayaan sesuatu bangsa pula lain mengikut keadaan setempat. Melayu Cape mula beradaptasi dengan pakaian kolonial dan mula meninggalkan pakaian kebangsaan Melayu. Tidak bersampin, berbaju Melayu cekak musang dan perempuan dengan Baju Kurung. Melayu Sri Lanka juga mula menyesuaikan pakaian itu yang lebih berbentuk Islamik dan berbudaya setempat, iaitu dengan memakai pakaian tok siak dan berkain pelikat.

Berbahasa Melayu kompenan terakhir pra-syarat untuk menjadi Melayu. Sungguhpun terdapat persamaan antara bahasa Melayu yang diamalkan oleh Bahasa Melayu diamalkan di Indonesia dan Malaysia (termasuk Brunei, Singapura dan Selatan Thailand) keupayaan berbahasa Melayu di sesetengah ‘Melayu’ mula terhakis. Selatan Thailand, Melayu Pattani lebih selesa berbahasa Thailand daripada berbahasa Melayu, hasil penjajahan dan pengasimilisasian yang dilakukan kerajaan pusat Thailand. Begitu juga dengan ‘Melayu’ di Cape, dan Sri Lanka.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca juga antara penyebab kenapa berbahasa Melayu sebagai pra-syarat kepada kemelayu tidak boleh diterima sebagai sebab yang menyebabkan seseorang itu diklasifikasikan sebagai Melayu. Penggunaan secara meluas Bahasa Melayu menyebabkan kaum-kaum bukan Melayu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Ibunda mereka. Di Indonesia, kaum Tionghua (Kaum Cina) sudah mula meninggalkan bahasa Mandarin atau kantonis dan hanya berbahasa Melayu ( Bahasa Indonesia) namun tidak pula boleh dikatakan dan diklasifikasikan sebagai Melayu. Jakun, Temai, dan puak Orang Asli yang mula berbahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan dipertuturkan di rumah. Adakah itu menjadikan mereka sebagai Melayu sedangkan mereka sendiri tidak pula mengaku Melayu?

Jikalau terma Melayu itu terdiri dari mereka yang berasal dari Kepulauan Melayu/ Austronesia ini dan berhijrah sehingga tersebar dari Madagaskar di benua Afrika sehingga Kepulauan Pasifik, ternyata ketiga-tiga elemen/prasyarat ini tidak boleh terpakai dan terhapus.

Makanya, siapa itu Melayu sebenarnya?

Perbincangan diatas sekadar satu permulaan. Setiap perbincangan dimulakan dengan persoalan. Makanya, si penghikayat mempersoalkan secara terbuka kepada semua, semua anda yang membaca ini dan menjawabnya. Jikalau tidak mampu menjawabnya, fikirkan secara mendalam. Siapa anda sebenarnya yang selama ini mengaku sebagai Melayu?

Persoalan ini kita jawab pada perbincangan akan datang. :)


(Tulisan Hamba di sayabudakmelayu.blogspot.com pada 22 Julai 2011)

Kemunculan Kembali

Penulisan yang terakhir di blog ini tertulis pada 22 September 2009. Hampir dua tahun blog ini tidak bersentuh!

Niat sebenarnya hendak dilupakan terus blog ini. Masa yang terlalu padat menyebabkan masa hendak menulis itu hampir tiada.

Menulis itu menjadi hobi tetapi masa yang terlalu kesuntukan menyebabkan niat menjadi blogger itu tidak kesampaian.

Namun pada bulan Mei yang lepas, seorang sahabat memberi tawaran untuk menulis didalam blognya. Pada mulanya memang malas kerana tak mahu kejadian berulang kembali seperti SilumanSakti ini. (sebab kembali menulis boleh dilihat disini)

Sahabat tersebut terus mendesak. Setelah difikirkan masak-masak, diambil juga tawaran tersebut di sayabudakmelayu.blogspot.com dengan memakai nama Aryamehr.

Setelah hampir beberapa bulan, minat untuk muncul kembali. Tetapi bukan semua boleh ditulis didalam blog tersebut. Khususnya melibatkan pandangan peribadi ataupun sesuatu yang melibatkan peribadi.

Maka dengan ini Hamba hidupkan kembali SilumanSakti. Tetapi lebih bersifat personal dan pandangan peribadi ketersamping dengan blog sayabudakmelayu.blogspot.com. Di sini, lebih selesa dan tidak perlu berfikir dengan pandangan rakan yang lain serta boleh terus menjadi siluman, menulis tanpa perlu dikenali.

Menulis untuk peringatan diri sendiri dan bukannya untuk orang lain.

Tuesday, September 22, 2009

Seribu Tahun Lagi!

Sesiapa yang menganggap bahawa si penghikayat blog ini sudahpun tiada di alam fana ini, sesungguhnya dia masih ada dan bernafas. Barangsiapa yang menganggap bahawa si penghikayat blog ini sudahpun malas hendak menulis blog, sesungguhnya dia amatlah sibuk dengan pengajiannya sehingga tiada masa untuk menulis. Dan dia amatlah menggagumi blogger/s tegar yang mampu bertahan dan setia menulis khususnya mereka-mereka yang bekerja dan masih didalam pengajian. Moga si penghikayat blog ini mengambil iktibar dari dari mereka-mereka ini yang setia dengan penulisan mereka. Bagi menunjukkan bahawa si penghikayat blog ini masih bernyawa dan bernafas dan masih segar, rupa blog ini diubah untuk menunjukkan perubahan dan peremajaan semulanya kerana blog ini tetap akan hidup..kerana ia akan hidup sehingga seribu tahun lagi!